BINTULU, 21 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming turut serta memeriahkan program Car Free Morning 2025 bersama warga Bintulu hari ini.
Beliau menyifatkan cuaca baik memberi peluang kepada orang ramai untuk keluar beriadah bersama keluarga dalam suasana yang sihat dan ceria.
“Ramai yang hadir untuk berjalan kaki, berjoging dan menikmati masa bersama keluarga. Saya sangat gembira melihat semangat serta sambutan yang begitu menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, penyertaan golongan muda sehinggalah warga emas menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup aktif dan sihat.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan sebagai inisiatif mendorong masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan pada masa yang sama melindungi alam sekitar kita,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.-TVS