KUCHING, 21 Jun: Program Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) menjadi ‘talian hayat kedua’ bagi pesalah muda untuk memperbaiki diri yang seterusnya diharap dapat menjadi aset kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, PKM merupakan satu bentuk pendisiplinan bagi pesalah muda yang berumur 18 tahun ke atas dan di bawah umur 21 tahun yang diperintahkan untuk menjalani perintah khidmat masyarakat oleh mahkamah.
Malah, Nancy berharap agar semua pihak dapat menggembleng tenaga membantu Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat di ibu pejabat Jabatan Khidmat Masyarakat seluruh negara, termasuk di Sarawak bagi membendung serta mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan golongan belia ini.
“Dari tahun 2008 hingga 2024, lebih 10,000 kes telah dilaksanakan di seluruh negara, termasuk 8,125 pesalah muda dan 2,163 pesalah kanak-kanak. Di Sarawak, masih ada 30 kes aktif sehingga Mei 2025,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Ilmu dan Bakti Perintah Khidmat Masyarakat 2025 di Kuching pada Sabtu.
Nancy melihat PKM ini sebagai satu pendekatan sebagai tanda sokongan kerajaan serta masyarakat selain memberi peluang kedua kepada pesalah muda ini kerana ia dilaksanakan bagi memenuhi objektifnya termasuklah membangkitkan keinsafan serta nilai kerohanian, selain membina ketahanan diri yang cekal dan membentuk individu baharu yang lebih yakin serta beretika dalam kelompok masyarakat.
Menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) keberkesanan program PKM ini mencecah 70 hingga 80 peratus kerana ia mendatangkan impak positif kepada pelatih dari segi sikap, emosi dan integrasi sosialnya. – TVS