KUCHING, 21 Jun: Penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak dijangka beroperasi semula selepas Kerajaan Indonesia mengumumkan pembukaan semula ruang udaranya dari Pontianak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan itu memberi ruang kepada syarikat penerbangan sama ada tempatan atau dari Indonesia untuk memulakan semula operasi laluan berkenaan yang pernah popular satu ketika dahulu.
“Saya berasa sangat gembira kerana Kerajaan Indonesia telah mengumumkan pembukaan semula ruang udara dari Pontianak.
“Seperti yang kita sedia maklum, Indonesia mempunyai prosedur tersendiri iaitu kelulusan yang perlu dikeluarkan oleh Presiden mereka,” katanya pada sidang media selepas melakukan walkabout Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di sini, hari ini.
Katanya, walaupun ruang telah dibuka namun ia terpulang kepada syarikat penerbangan untuk memulakan operasi semula bagi laluan tersebut.
Beliau percaya bahawa ada beberapa syarikat penerbangan yang sedang meneliti peluang ini memandangkan laluan Pontianak–Kuching dilihat merupakan sektor yang sangat berpotensi.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia. Malah, ia turut memberi manfaat kepada pihak di seberang sana (Indonesia),” katanya.
Dedah Abdul Karim bahawa ramai rakyat Sarawak pada masa ini perlu memandu selama empat hingga lima jam untuk ke Pontianak.
Dengan adanya operasi penerbangan kelak beliau berkata, rakyat Sarawak boleh memilih untuk menaiki penerbangan yang hanya mengambil masa sekitar setengah jam.
Tambahnya, ini sudah pasti akan memberi impak positif kepada industri khususnya industri pelancongan di Pontianak. – TVS