SANDAKAN, 21 Jun: Sebuah lori membawa muatan gas LPG terbakar sepenuhnya dalam satu kejadian di Jalan Damai berhampiran Taman Kam Jai Yen, Sandakan, pada pagi Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 11.09 pagi itu, dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia mengalami kecederaan melecur di bahagian bahu dan tangan dihantar ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Kebakaran melibatkan lori jenis Isuzu 1.5 tan yang membawa 45 tong gas terbakar keseluruhan,” kata Komander Operasi PBK I Chauslim Sumsubil dalam satu kenyataan.
Pasukan dari BBP Sandakan dengan kekuatan sembilan anggota menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan dua unit buih (foam) bagi memadamkan api, menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan water tanker.
Operasi diketuai oleh PKPgB Jimmy Lagung dan turut dibantu oleh PDRM serta KKM. Pemeriksaan keselamatan dibuat di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.14 tengah hari. -TVS