LONDON, 21 Jun: Juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, terus menunjukkan taring dalam jendela perpindahan apabila melengkapkan pembelian bintang muda Jerman, Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen dengan nilai rekod kelab £100 juta (US$134.7 juta), lapor PA Media/dpa.
Perpindahan pemain berusia 22 tahun itu boleh melonjak menjadi rekod baharu Britain apabila insentif tambahan bernilai £16 juta disertakan dalam perjanjian, sekali gus berpotensi mengatasi rekod semasa £115 juta yang dibayar Chelsea untuk Moises Caicedo pada 2023.
Difahamkan, The Reds bersedia membayar “bonus aspirasi” itu kerana ia akan mencerminkan kejayaan besar mereka di pentas tertinggi.
Wirtz menandatangani kontrak lima tahun dan dianggap sebagai antara bakat muda paling bernilai di Eropah.
Kehadirannya disifatkan sebagai rampasan besar buat Liverpool yang sebelum ini bersaing dengan Manchester City, Bayern Munich dan Real Madrid bagi mendapatkan khidmatnya.
Wirtz menjadi rekrut kedua Liverpool musim ini selepas rakan sepasukannya di Leverkusen, Jeremie Frimpong turut menyertai kelab Merseyside itu.
Penjaga gol Valencia, Giorgi Mamardashvili, pula dijangka tiba bulan depan selepas perjanjian dimeterai tahun lalu, menjadikan jumlah perbelanjaan setakat ini mencecah £175 juta. – TVS