KOTA TINGGI, 21 Jun: Konflik yang sedang berlaku antara Iran dan Israel boleh mencetuskan perang dunia jika tidak dibendung segera, sekali gus memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya perang tercetus, ia akan menjejaskan aktiviti perdagangan dunia dan menyebabkan harga minyak melonjak serta gangguan kepada rantaian bekalan global.
“Semua negara akan terkesan kerana tentunya harga minyak akan naik, bekalan-bekalan akan terputus dan perdagangan bebas dunia akan terganggu.
“Kita tahu negara kita adalah negara dagang, maka akhirnya rakyat juga akan terjejas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan konflik tersebut, termasuk mengenal pasti jenis teknologi dan sistem persenjataan yang digunakan dalam peperangan berkenaan.
“Ini sangat penting dalam usaha kita memastikan pertahanan negara berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Mengulas sama ada Kementerian Pertahanan terlibat dalam proses membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kementeriannya tidak terbabit dalam operasi tersebut.
Menurutnya, tiada penerbangan dibenarkan masuk ke Iran buat masa ini, dan jumlah rakyat Malaysia di negara itu juga adalah kecil.
“Mereka akan dibawa keluar melalui jalan darat ke Turkmenistan sebelum menaiki pesawat komersial pulang ke tanah air.
“Kita (Kementerian Pertahanan) tidak akan membantu kerana jika kita masuk ke Iran, ia boleh ditafsirkan sebagai tindakan membantu Iran,” jelasnya.
Semalam, Kementerian Luar memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam peringkat akhir memuktamadkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Iran.
Pada Rabu lalu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil turut memaklumkan bahawa Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran susulan peningkatan risiko keselamatan berikutan ketegangan antara kedua-dua negara. – TVS