MUKAH, 21 Jun: Kerjasama antara pelbagai pihak terutama komuniti setempat bersama Sarawak Plantation Berhad (SPB) amat penting bagi mencapai matlamat bersama dalam memperkukuh pembangunan sosial.
Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Plantation Agriculture Development (SPAD), Philip Matau berkata, segala urusan dapat dijalankan dengan mudah sekiranya wujud hubungan yang baik antara semua pihak.
“Perkara paling utama adalah hubungan erat antara SPB dan komuniti setempat. Ini kerana, hubungan yang kukuh akan memudahkan segala urusan yang dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai Gawai Dayak SPB Wilayah Tengah yang diadakan di Kingwood Resort, malam tadi.
Mengulas lanjut, Philip menjelaskan bahawa kerjasama yang wujud memudahkan usaha memajukan kawasan, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Dalam pada itu, katanya, majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak syarikat dan komuniti setempat.
“Di samping itu, ia turut menjadi platform untuk menyampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah dalam kawasan SPB.
“Selain itu, kita juga menyalurkan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan ini. Tujuan utamanya adalah bagi memberi galakan kepada pelajar lain agar turut cemerlang dalam pelajaran mereka,” tambahnya.
Ujarnya, selain bidang pendidikan, pelbagai sumbangan lain turut disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat ini.
Pada majlis berkenaan, SPB turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada beberapa buah sekolah.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) SLDB No. 1, SK SLDB No. 3, SK Sungai Duan, SK Pengkalan Lobang, SK Bukit Inkerbai, SK Sungai Bayan Ulu dan SK Lubok Bemban.
Selain itu, seramai sembilan pelajar cemerlang SPM 2024 turut menerima penghargaan dalam majlis berkenaan.-TVS