KINABATANGAN, 21 Jun: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang juga orang kelainan upaya (autisme) dilaporkan hilang ketika bermain di tepi sungai berhampiran kawasan Batu Putih, Menggaris di Kinabatangan petang tadi.
Menurut maklumat awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dikenali sebagai Mohammad Aqeef Al Tarmiezy Arman.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan menerima panggilan pada jam 5.14 petang dan dua anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.
“Orang kampung telah berusaha mencari sejak jam 2 petang hingga 6 petang namun gagal menemui mangsa,” kata Pegawai Operasi PBK I Ahmad Pramuja.
Setakat jam 6 petang, operasi pencarian masih belum menemui hasil dan tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam pencarian pada peringkat awal.
Ketua Balai BBP Kota Kinabatangan, PPgB Hairi Bin Utoh, turut bersiap sedia di lokasi dan boleh dihubungi bagi maklumat lanjut di talian 017-861 6619.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kelibat kanak-kanak berkenaan diminta segera menghubungi pihak berkuasa. – TVS