BETONG, 21 Jun: Sebuah set jana kuasa milik syarikat telekomunikasi musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan berbukit di Jalan Ulu Layar di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.13 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi pemadaman diketuai oleh Komander Operasi PBK II (TBK I) Abdul Kadir Anak Sebie melibatkan lapan anggota bersama kekuatan satu jentera FRT, satu unit EMRS dan sebuah kenderaan utiliti jenis Urvan.
“Kebakaran melibatkan sebuah jana kuasa yang terletak di atas bukit dan menyebabkan kemusnahan seratus peratus. Pasukan bomba menggunakan satu unit Auxiliary Pump Appliance (APA) dan satu salur bantu mula untuk memadamkan kebakaran,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan api berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang ancaman kepada kawasan sekitar.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-TVS