BELURAN, 21 Jun: Di Pulau Keniogan, air bersih tidak pernah mengalir dari paip rumah kerana tiada sebarang sistem paip. Lebih 1,200 penduduk di pulau terpencil ini hanya bergantung kepada air hujan, telaga cetek dan satu telaga tiub yang masih berfungsi.
Ketiadaan sistem paip air atau kemudahan rawatan menyebabkan penduduk terpaksa menadah air hujan dalam tangki, mengangkat air dari telaga cetek atau berkongsi sumber air bawah tanah melalui pam buatan sendiri. Namun semua ini tidak mencukupi terutama ketika musim kemarau atau cuaca tidak menentu.
Ketua Kampung Keniogan, Azmi Datuk Madlis berkata, pelbagai permohonan telah diajukan kepada wakil rakyat, namun sehingga kini tiada kemudahan infrastruktur air dibina.
“Masalah air di sini memang kritikal. Kami hanya bergantung kepada air hujan dan telaga gali. Bila musim kering, memang tak cukup. Sekarang cuma tinggal satu telaga tiub yang masih berfungsi. Kami amat perlukan penyelesaian kekal yang selamat,” katanya.
Keadaan ini turut membebankan peniaga kecil dan keluarga besar yang perlu membelanjakan ratusan ringgit setiap bulan untuk membeli air botol bagi kegunaan harian.
Amsinah Gulam, 41, yang menjual minuman dan makanan ringan dari rumahnya berkata, dia hanya menggunakan air botol untuk memasak dan menyediakan minuman kerana air telaga kini tidak lagi selamat.
“Air telaga sekarang kekuningan dan kotor. Dulu boleh tapis dan simpan untuk diminum, tapi sekarang tak boleh. Saya guna sehingga 30 karton air botol sebulan. Satu karton RM15, jadi RM450 itu belum campur barang dapur,” katanya.
Nelayan Shafie Matnoor, 50, yang menyara enam sekeluarga berkata, mereka mengepam air secara manual dari telaga tiub dan bergantung pada air hujan untuk memasak.
“Kami masak guna air dalam tangki kalau hujan. Kalau tak hujan, tangki kosong. Saya kena beli air botol untuk anak-anak bawa ke sekolah. Ini tak boleh berterusan. Kami harap kerajaan boleh sambung saluran paip dari telaga ke setiap rumah,” katanya.
Penduduk mencadangkan supaya dibina sistem rawatan air mini di pulau itu, yang boleh menapis dan merawat air dari telaga tiub sedia ada sebelum disalurkan ke rumah melalui rangkaian paip asas.
Langkah ini dilihat lebih praktikal dan mampu mengurangkan beban kewangan keluarga yang kini terpaksa menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka hanya untuk mendapatkan air minum selamat.
Bagi penduduk Keniogan, permintaan mereka bukan satu kemewahan, mereka hanya mahukan apa yang telah lama dinikmati oleh rakyat di tanah besar, air bersih dan terawat yang sampai ke rumah. -TVS