KUCHING, 21 Jun: Guru bukan sekadar pendidik sebaliknya merupakan pembina karakter dan penyuluh jalan dalam dunia pendidikan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tanpa guru sudah pasti tiada ilmu yang menentukan masa depan hala tuju seseorang pelajar.
“Penghargaan ini ditujukan kepada semua warga pendidik dahulu dan sekarang atas dedikasi tanpa lelah dalam membentuk generasi akan datang.
“Sumbangan mereka tidak diukur hanya melalui gred atau keputusan peperiksaan tetapi melalui nilai hidup yang diterapkan, keyakinan yang dibina dan masa depan yang mereka bentuk,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Insentif Murid Cemerlang SPM 2024 di SMK Jalan Arang, Kuching, hari ini.
Seramai 35 guru menerima penghargaan atas kejayaan meningkatkan gred purata mata pelajaran SPM manakala 72 pelajar menerima Insentif Murid Cemerlang SPM 2024 termasuk 18 pelajar yang meraih semua A.
Dr Sim turut menasihatkan pelajar agar tidak melihat kejayaan dalam SPM sebagai noktah perjuangan sebaliknya menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus berdisiplin dan berusaha mencapai cita-cita.
“Anak muda Sarawak perlu memanfaatkan pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak seperti pendidikan percuma dan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada ketua bidang, guru bimbingan dan kaunseling serta barisan pentadbir sekolah sebagai menghargai komitmen mereka terhadap kecemerlangan pendidikan.-TVS