BUTTERWORTH, 21 Jun: Seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan polis selepas dilarikan seorang lelaki sejauh kira-kira 10 kilometer menggunakan kereta milik bapanya di Penaga, Kepala Batas dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa berusia 12 tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU) bisu, dilaporkan mengalami trauma selepas dilarikan oleh suspek yang memiliki 18 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abd Rahman berkata, kejadian berlaku semasa mangsa dan ibunya berada di sebuah bengkel milik bapanya bagi menghantar minyak hitam kenderaan.
Katanya, ketika urusan sedang dilakukan, ibu mangsa meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan enjin masih hidup di hadapan bengkel tersebut.
“Semasa mahu kembali ke kereta, wanita itu mendapati kereta berkenaan telah tiada sebelum cuba mencarinya bersama suami dan rakan di kawasan sekitar, namun gagal.
“Dia kemudian menggunakan aplikasi penjejak keluarga, Life360, untuk mengesan lokasi telefon bimbitnya yang berada bersama mangsa, sebelum mendapati ia berada di kawasan Bagan Lalang, Butterworth,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara bersama anggota Balai Polis Butterworth kemudiannya berjaya menahan suspek yang berusia lingkungan 60-an di kawasan berkenaan.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan 11 kes berkaitan dadah.
“Mangsa yang berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Haslinda Rahmat di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A/363 Kanun Keseksaan. – TVS