PUTRAJAYA, 21 Jun: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu atlet profesional yang menyertai program Road to Gold (RTG) diberi akses kepada kemudahan latihan yang lebih baik dan privasi, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam, kini sedang menyelaraskan bentuk bantuan serta keperluan yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan prestasi atlet berada pada tahap terbaik.
“Saya berharap kita dapat bantu mencari tempat latihan yang lebih sesuai dan privasi untuk atlet kita.
“Tidak perlu sampai mereka berlatih di pusat membeli-belah di mana orang awam boleh melihat,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025 dalam Sukan di sini, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada situasi dua pasangan beregu badminton negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (beregu lelaki) serta Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran), yang ketika ini menjalani latihan di sebuah fasiliti badminton terletak dalam kompleks beli-belah.
Terdahulu, media melaporkan kedua-dua pasangan tersebut telah menyatakan komitmen mereka terhadap program RTG bagi kitaran 2025.
Hannah sebelum ini memaklumkan bahawa melalui RTG, atlet profesional akan menerima sokongan menyeluruh dalam aspek prestasi tinggi, termasuk bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan pembiayaan perjalanan bagi kejohanan luar negara yang diluluskan.
Beliau turut menekankan keperluan atlet profesional untuk terus berlatih bersama rakan sepasukan atau sparring partner yang setaraf bagi memastikan kualiti latihan lebih seimbang dan kompetitif.
“Apa yang penting, semua atlet kita mempunyai rakan sparring yang setara supaya mereka dapat manfaat maksimum daripada sesi latihan,” katanya. – TVS