SEPANG, 21 Jun: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan kembali beroperasi secara rasmi mulai 1 Julai ini, selepas melalui fasa percubaan dan ujian keselamatan akhir.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata operasi fasa pertama itu akan bermula seawal 10 pagi, sekiranya semua ujian akhir termasuk Prosedur Tindak Balas Kecemasan (ERP) berjalan lancar.
“Sekiranya semuanya mengikut jadual, sukacita saya maklumkan bahawa perkhidmatan Aerotrain KLIA akan mula kembali beroperasi mulai 10 pagi, 1 Julai 2025, iaitu kira-kira dalam 10 hari lagi,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke terminal dan mencuba sendiri perkhidmatan tersebut, hari ini.
Aerotrain KLIA sebelum ini mengalami kelewatan pelaksanaan meskipun dirancang sebagai projek tiga tahun bermula Mac 2022, disebabkan oleh kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedia ada oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
MAHB sebelum ini menandatangani Surat Perjanjian (LOA) dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd serta IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd melalui kerjasama IJMC-Pestech JV pada 12 Januari 2024.
Kos semasa projek itu kini dianggarkan mencecah RM456.1 juta, melibatkan pembelian sembilan gerabak baharu dengan setiap gerabak mampu menampung sehingga 90 penumpang, atau 270 orang bagi setiap perjalanan.
Anthony berkata, hanya dua daripada tiga gerabak yang akan beroperasi secara selang-seli pada peringkat awal, manakala satu lagi dijadikan unit sandaran.
“Kedua-dua landasan akan digunakan. Namun, semasa waktu penyelenggaraan (engineering hours), hanya satu tren akan beroperasi untuk memastikan penyelenggaraan dilakukan dengan teliti.
“Sebab itu pelbagai ujian dilakukan dan semua ini akan dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.
Dalam masa sama, perkhidmatan bas perantara sedia ada akan diteruskan dan tidak akan dihentikan dalam masa terdekat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan antara terminal.
“Saya telah meminta pihak MAHB untuk memastikan adanya pelan mitigasi. Walaupun Aerotrain kembali beroperasi, perkhidmatan bas pengantara akan terus dikekalkan agar pengguna mempunyai pilihan,” jelasnya.
Tambah Anthony, projek ini penting dalam meningkatkan imej negara di mata dunia, khususnya sempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
“Tahun ini sangat penting kerana kita adalah pengerusi ASEAN. Akan ada banyak mesyuarat berlangsung di Malaysia, termasuk satu lagi sidang kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung tahun ini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Aerotrain KLIA adalah antara persediaan penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), di mana negara dijangka menerima kemasukan jutaan pelancong asing.
“Tahun 2026 akan menjadi tahun penting untuk pelancongan negara. Pembukaan semula Aerotrain ini adalah antara elemen utama dalam menyambut kedatangan pelancong ke Malaysia,” katanya. – TVS