YAOUNDE (Chad), 21 Jun: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam insiden keganasan yang tercetus di Chad pada petang Khamis, menurut pihak berkuasa tempatan dan laporan media pada Jumaat.
Keganasan berlaku di perkampungan Oregomel, yang terletak di wilayah Mayo-Kebbi Barat di barat daya negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Laporan media tempatan menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang terkorban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala 16 lagi cedera dalam insiden itu.
Pada Jumaat, perwakilan kerajaan ke wilayah Mayo-Kebbi Barat, Abdelmanane Khatab mengumumkan beberapa langkah bagi menangani isu keselamatan di wilayah itu selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.
Kejadian berdarah itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Mahamat Idriss Deby Itno mengadakan mesyuarat tergempar mengenai keselamatan susulan beberapa insiden keganasan di negara Afrika Tengah itu.
Sejak Mei lalu, lebih 50 kematian dilaporkan di Chad akibat keganasan antara komuniti, menurut laporan media tempatan.-TVS