SARIKEI, 20 Jun: Pengurusan dan operasi Dewan Suarah Sarikei diperhalusi menerusi mesyuarat yang diadakan hari ini bagi memastikan kemudahan itu kekal efisien serta memenuhi keperluan masyarakat.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Menurut beliau, mesyuarat itu penting bagi memastikan urus tadbir dewan berjalan teratur dan berpandukan garis panduan yang ditetapkan.
“Sebagaimana ditetapkan dalam prosedur pengurusan, mesyuarat ini adalah satu daripada dua mesyuarat tahunan yang wajib dilaksanakan,” katanya.
Antara agenda utama dibincangkan termasuk taklimat terma rujukan lantikan ahli Lembaga Pengurusan Dewan Suarah Sarawak serta pembentangan laporan kewangan, aktiviti dan status tempahan dewan.
Mesyuarat turut menyentuh laporan kemajuan projek naik taraf dewan bagi tempoh 2024 hingga 2025 yang dikemukakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei, termasuk status pelaksanaan semasa.
Tiong Sii menegaskan bahawa kolaborasi semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan kerajaan terus berada pada tahap terbaik.
“Kerjasama, pandangan membina dan pengurusan berkualiti amat penting dalam memastikan Dewan Suarah kekal relevan untuk kegunaan masyarakat,” ujarnya.