BETONG, 20 Jun: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong Edisi ke-21 Tahun 2025 dengan kutipan 426 mata sekali gus mempertahankan kejuaraan.
Di bawah bimbingan jurulatih Mohd Faiz Farhan Massor, SMK Saratok unggul dengan pungutan 29 pingat emas, 30 perak dan 23 gangsa menewaskan pencabar utama, SMK Saint Augustine Betong yang meraih tempat kedua dengan 302 mata hasil kutipan 20 emas, 21 perak dan 18 gangsa.
SMK Datuk Patinggi Kedit Betong mengekalkan kedudukan ketiga dengan 234 mata melalui kutipan 16 emas, 19 perak dan 1 gangsa manakala tempat keempat milik SMK Saribas selaku tuan rumah kejohanan dengan 192 mata (13 emas, 12 perak, lapan gangsa).
Dalam kategori zon, Zon Saratok mencatat sejarah apabila merampas kejuaraan daripada penyandang, Zon Roban dengan kutipan 120 mata (10 emas, tiga perak, 10 gangsa).
Zon Betong muncul naib juara dengan 115 mata (sembilan emas, lapan perak, lapan gangsa), manakala Zon Kabong di tempat ketiga dengan 75 mata (tiga emas, lapan perak, empat gangsa).
Kejohanan yang berlangsung selama enam hari bermula 15 Jun itu menyaksikan penyertaan 22 kontinjen terdiri daripada 14 sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA.
Sebanyak lapan zon terlibat iaitu Zon Betong, Zon Debak, Zon Kabong, Zon Krian, Zon Pusa, Zon Roban, Zon Saratok dan Zon Spaoh.
Majlis penangguhan kejohanan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri.-TVS