TOKYO, 20 Jun: Seorang lelaki berusia 90 tahun disahkan meninggal dunia, disyaki akibat strok haba di wilayah Gifu, tengah Jepun, ketika negara itu terus dilanda gelombang panas, lapor agensi berita Xinhua yang memetik laporan media tempatan.
Mangsa ditemukan terbaring di kawasan ladang di bandar Ikeda pada petang Khamis.
Dia dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia, menurut penyiar awam NHK.
Sementara itu, sehingga 9 malam waktu tempatan Khamis, seramai 100 orang berusia antara 11 hingga 97 tahun di Tokyo dikejarkan ke hospital kerana disyaki mengalami simptom strok haba, menurut pegawai jabatan bomba tempatan.
Daripada jumlah itu, seorang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), beberapa lokasi mencatatkan suhu 35 darjah Celsius atau lebih tinggi untuk hari ketiga berturut-turut.
Suhu melebihi 30 darjah Celsius direkodkan di 598 lokasi, iaitu kira-kira dua pertiga daripada lebih 900 titik cerapan di seluruh Jepun, manakala suhu 35 darjah Celsius atau lebih tinggi dicatatkan di 56 lokasi, menurut JMA. – TVS