KUCHING, 20 Jun: Selepas tujuh tahun, kumpulan muzik fusion terkenal dari Thailand, Paradise Bangkok Molam International Band kembali menghangatkan pentas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 di Kuching.
Pengasas kumpulan, Maft Sai menyifatkan kehadiran semula mereka ke Sarawak sebagai satu pengalaman nostalgik yang mengimbau kenangan manis ketika persembahan pertama mereka di lokasi sama tujuh tahun lalu.
“Kami masih ingat ketika itu hujan lebat, tetapi penonton tetap menari dan menikmati muzik bersama kami. Kali ini, dengan cuaca yang cerah, kami dapat lebih menghargai suasana, budaya dan sambutan hangat masyarakat di sini,” katanya pada sidang media sempena RWMF ke-28, hari ini.
Maft Sai turut berkongsi antara alat muzik utama yang membentuk identiti bunyi kumpulan mereka ialah phin (gitar tradisional Isan) dan khaen (alat tiupan tradisional Thailand-Laos).
“Genre kami berakar pada melodi tradisional yang kami gabungkan dengan elemen moden seperti drum loop, bass line dan rentak perkusi. Ini mewujudkan gaya muzik yang segar namun tetap berpaksikan tradisi,” ujarnya.
Beliau berkata, kumpulan itu terbuka untuk berkolaborasi dengan pemuzik dari rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia khususnya mereka yang memperjuangkan muzik tradisional.
Paradise Bangkok Molam International Band dikenali dengan gaya unik yang menggabungkan muzik tradisional wilayah Isan, timur laut Thailand dengan irama kontemporari yang segar dan bertenaga.
Kumpulan tersebut dijadual mengadakan persembahan khas malam ini sekitar jam 7:40 malam di Kampung Budaya Sarawak.
RWMF 2025 berlangsung dari 20 hingga 22 Jun menampilkan barisan pemuzik tempatan dan antarabangsa dari pelbagai genre.-TVS