ROBAN, 20 Jun: Sebanyak RM100,000 diluluskan bagi menaik taraf struktur berbumbung di hadapan bangunan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Kabong 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek tersebut akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan kemudahan infrastruktur sekolah luar bandar di Kabong terus dipertingkatkan demi keselesaan murid dan guru,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan melalui teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom di Majlis Makan Malam Amal PIBG dan Sambutan Hari Gawai Ngiling Tikai PIBG SK Sungai Pasir, di sini pada Jumaat.
Selain itu, bagi menyokong aktiviti pendidikan, kebajikan dan pembangunan sahsiah murid di sekolah tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Pasir menerusi Geran Khas Kerajaan Sarawak.
“Penganjuran majlis seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan dan budaya dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat, bahkan menjadi platform terbaik untuk menyumbang kepada manfaat anak-anak kita di sekolah ini,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Bell Bernard Aggan, dan Pegawai Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Leonard Jambu.-TVS