KUALA LUMPUR, 20 Jun – Architects of Diversity Malaysia (AOD) menyambut baik pelancaran Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang disifatkan sebagai langkah penting menggabungkan teknologi, kesedaran sivik dan dasar perpaduan dalam satu sistem lebih inklusif dan mesra rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, AOD menyatakan, RAKAN bukan sekadar saluran aduan tetapi platform yang membolehkan rakyat menyuarakan kebimbangan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian komuniti secara lebih mudah, selamat dan tersusun.
“Berdasarkan dapatan State of Discrimination Survey 2023 yang dijalankan AOD, satu daripada tiga anak muda di Malaysia pernah mengalami diskriminasi berasaskan kaum atau agama. Namun hampir separuh tidak tahu di mana untuk membuat aduan manakala saluran sedia ada dilihat terlalu formal dan tidak mesra pengguna,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, kewujudan RAKAN dianggap sebagai penyelesaian kepada jurang penyampaian yang wujud sejak sekian lama sekali gus memperkukuh keupayaan kerajaan bertindak berdasarkan maklumat akar umbi.
AOD turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti komitmen KPN dalam mendigitalkan mekanisme penyelesaian isu perpaduan dengan lebih cekap dan berasaskan data masa nyata.
“RAKAN adalah manifestasi usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi serta meletakkan suara komuniti sebagai teras utama dalam merangka dasar perpaduan berkesan,” menurut kenyataan tersebut.
Langkah tersebut jelas AOD membuktikan keharmonian bukan sekadar slogan tetapi tanggungjawab bersama yang kini dipermudahkan dengan saluran lebih efektif.-TVS