SARIKEI, 20 Jun: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dengan kerjasama Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn. Bhd. (WCS) menganjurkan Program Dialog Projek Karbon Biru bersama komuniti pada 18 dan 19 Jun 2025 di Rumah Preddy dan Kampung Sebena, Meradong.
Program tersebut bertujuan memperkenalkan projek karbon biru dan menggalakkan penglibatan aktif komuniti setempat dalam pemuliharaan serta pemeliharaan ekosistem bakau di kawasan projek seluas 10,300 hektar.
Pengurus Perancangan Projek dan Pembangunan PUSAKA, Mohd. Irhasman Inggal mengetuai delegasi bersama wakil-wakil agensi kerajaan dari Pejabat Daerah Meradong, Jabatan Tanah dan Survei Mukah, Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta wakil pemaju projek iaitu WCS.
Sepanjang program, komuniti diberi penerangan mengenai peranan penting karbon biru dalam menyerap karbon dioksida melindungi kawasan pesisir daripada hakisan, memelihara biodiversiti dan memperbaiki kualiti ekosistem setempat.
Dialog turut menekankan potensi manfaat projek kepada komuniti termasuk peluang pekerjaan, pembangunan ekopelancongan, program pembangunan kapasiti dan penambahbaikan infrastruktur.
Pengurus Projek Karbon WCS, Felix Untam berkata, sokongan dan kerjasama komuniti adalah kunci utama kejayaan projek tersebut.
Inisiatif tersebut juga seiring dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan dan ekonomi hijau.
PUSAKA, WCS dan agensi terlibat turut merakamkan penghargaan kepada semua komuniti sekitar Mupong dan Sebena atas sokongan mereka dalam menjayakan projek karbon biru.
Projek tersebut diharap dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat di samping memelihara sumber alam dan warisan budaya generasi kini dan masa depan.-TVS