PUTRAJAYA, 20 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini, memandangkan ambang pendapatan kebanyakan rakyat Malaysia masih dianggap terlalu rendah.
Meskipun mengakui bahawa GST merupakan satu sistem percukaian yang cekap dan telus, Anwar menekankan bahawa pelaksanaannya pada masa ini hanya akan membebankan rakyat.
“Pendapatan rakyat terlalu rendah. Mungkin ramai tidak bersetuju atau mempunyai pandangan berbeza, tetapi saya melihat ramai rakyat hanya berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
“Walaupun kita beri beberapa pengecualian, namun ramai yang tetap terkena cukai. Betul, kita kecualikan barangan asas seperti gula, tetapi harus diingat, apabila rakyat mahu membeli barangan lain, misalnya menaiki bas, itu semua turut dikenakan cukai,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan semula pengenalan GST sekiranya purata pendapatan rakyat mencecah RM4,000 sebulan.
Tambahnya, kerajaan terbuka untuk menerima cadangan lebih baik berhubung pelaksanaan sistem percukaian, namun meminta rakyat agar menghormati sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang kini dilaksanakan secara progresif.
Mengambil contoh tindakan kerajaan mengenakan cukai ke atas buah-buahan import, Anwar berkata langkah itu telah membuka peluang kepada petani tempatan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan.
“Dalam beberapa lawatan saya ke luar negara sebelum ini, misalnya ke Laos, Vietnam dan Thailand, saya belum pernah menghadiri upacara rasmi anjuran kerajaan mereka yang menyajikan makanan import.
“Mereka sediakan makanan tempatan. Sebab itu kita arahkan agar semua jabatan kerajaan tidak menyajikan bahan import dalam majlis rasmi,” jelasnya.
Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan agar GST diperkenalkan semula bagi menggantikan SST demi mengukuhkan kewangan negara, namun cadangan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat pelbagai lapisan. – TVS