KUCHING, 20 Jun: Edisi ke-20 Pesta Babulang dan Lumba Kerbau dijangka berlangsung lebih meriah dan bermakna apabila pelbagai elemen warisan budaya masyarakat Bisaya dipersembahkan secara interaktif kepada pengunjung.
Pesta yang akan berlangsung di Batu Danau dari 27 hingga 29 Jun ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 28 Jun iaitu hari kedua acara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, jemputan rasmi kepada Premier Sarawak disampaikan menerusi kunjungan hormat ke pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pagi tadi.
“Tahun ini, pesta bukan sahaja menampilkan lumba kerbau tetapi turut meriah dengan aktiviti seperti pertandingan gong, persembahan tarian, lumba rakit, lumba perahu kecil serta pameran replika rumah tradisi dan resipi warisan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden 1 Persatuan Bisaya Sarawak, Datu Jack Liam berkata, edisi kali ini memberi tumpuan khas kepada usaha melestarikan seni budaya yang kian dilupakan terutamanya alat muzik tradisional seperti gendang Bisaya.
“Gendang kami semakin jarang dimainkan oleh generasi muda. Pesta ini adalah peluang untuk menghidupkan semula budaya yang hampir pupus serta memperkukuh jati diri masyarakat Bisaya,” ujarnya.
Pesta Babulang dan Lumba Kerbau merupakan acara ikonik yang sering menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk dari Brunei, Sabah, Labuan serta pelancong tempatan dari seluruh Sarawak.-TVS