BUTTERWORTH, 20 Jun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini berada di peringkat akhir untuk melengkapkan kertas siasatan terhadap syarikat pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dua minggu lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya turut menyiapkan kertas siasatan melibatkan syarikat yang memajak bas berkenaan, sebelum ia diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.
“Dua kertas siasatan sedang disediakan, masing-masing membabitkan syarikat pengendali bas dan syarikat pemajak bas tersebut.
“Setakat ini, siasatan sudah memasuki fasa akhir dan kita jangka akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat, tidak sampai sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 peringkat Pulau Pinang di sini.
Mengulas dakwaan bahawa JPJ tidak dapat mengambil keterangan daripada pengusaha syarikat bas kerana mengalami serangan jantung, Aedy Fadly menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, JPJ tetap akan meneruskan tindakan dan menunggu sehingga individu terbabit pulih untuk menjalani proses siasatan, sekiranya dakwaan itu benar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi pada 9 Jun lalu, seramai 15 pelajar UPSI terkorban selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Bas yang membawa 42 pelajar dari Jertih, Terengganu ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak itu dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam perkembangan berkaitan, Aedy Fadly berkata JPJ akan melaksanakan pengauditan keselamatan terhadap 500 syarikat pengendali kenderaan perkhidmatan awam dan perdagangan melalui operasi khas JPJ, Inspection and Safety Audit (JISA) bermula Isnin ini.
“Sebanyak 300 syarikat pengendali kenderaan barangan, 100 syarikat bas persiaran dan 100 syarikat bas ekspres dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.
“Tujuannya adalah untuk menilai pematuhan terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya lagi. – TVS