KOTA KINABALU, 20 Jun: Sebuah lori tangki membawa muatan 27,000 liter diesel dan petrol terbakar kira-kira 30 peratus dalam satu kejadian lewat malam tadi di Jalan Bertingkat Sulaman, berhampiran Taman Indah Permai.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 malam dan tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM, Sabah, operasi melibatkan seramai 30 anggota serta enam jentera pelbagai jenis termasuk FRT, water tanker, RIM, EMRS dan kenderaan komunikasi.
“Pasukan kami menggunakan satu aliran hose reel, tiga aliran 200 kaki dan empat gelen foam bagi memadam kebakaran. Kamera imej terma turut digunakan untuk memantau suhu dalam tangki sebelum minyak dipindahkan ke lori lain,” menurut kenyataan tersebut.
Setelah memastikan suhu dalam tangki berada pada tahap selamat, minyak dipindahkan oleh kakitangan syarikat Kotamas Oil Sdn Bhd ke lori tangki lain, dengan pemantauan penuh pasukan bomba di lokasi.
Operasi turut disertai lima anggota PDRM dan 15 staf syarikat. Keseluruhan operasi ditamatkan pada jam 3.40 pagi.