KUCHING, 20 Jun: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandu terbabas ke bahu jalan dan merempuh transformer elektrik di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.48 malam dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi kejadian didapati sebuah Proton Iriz terbabas ke bahu jalan dan merempuh transformer elektrik.
“Seorang mangsa di dalam kenderaan tersebut dikeluarkan oleh pasukan bomba mengalami kecederaan di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan di hantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan. – TVS