KUCHING, 20 Jun: Lelaki yang tular memegang objek menyerupai pistol dalam kejadian di persimpangan Jalan Keretapi, semalam, mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu mengesahkan suspek berusia 22 tahun itu ditahan semalam.
“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian dan semakan lanjut mendapati objek yang dipegang adalah pistol tiruan.
“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, satu video berdurasi sembilan saat memaparkan seorang lelaki memegang objek menyerupai pistol ketika memandu tular di media sosial dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Tambah Alecson, pihaknya memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap suspek sehingga 23 Jun ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.