Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
SEDCE dilantik sebagai pengedar eksklusif pelet Rumput Tropika Hibrid oleh penyedia bahan api mampan global, RAW Energy.

Kerjasama SEDCE-RAW Energy lonjak biojisim

BySaibi Gi

KUCHING, 20 Jun: Usaha Sarawak menuju sasaran Net Zero 2050 diperkukuh menerusi pelantikan SEDC Energy (SEDCE) sebagai pengedar eksklusif pelet Rumput Tropika Hibrid (HTG) oleh penyedia bahan api mampan global, RAW Energy.

Pelantikan itu sekali gus membuka laluan kepada penggunaan lebih meluas bahan api biojisim di negeri ini, selain melibatkan komuniti tempatan dalam agenda kelestarian melalui penanaman bahan mentah HTG secara berfasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson, berkata kerjasama strategik ini menandakan permulaan era transformasi tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.

“Dengan mengguna pakai teknologi biojisim terkini, SEDCE memberi contoh menginspirasikan kepada komuniti global yang berusaha menyeimbangkan pertumbuhan industri dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, pelet HTG yang diperkenalkan bukan sahaja merevolusikan sektor biojisim, malah bakal menjadi penanda aras baharu dalam industri tenaga antarabangsa.

“Pelet ini memiliki kitaran karbon yang lebih pendek serta kandungan tenaga haba lebih tinggi berbanding pelet kayu.

“Ia berpotensi menggantikan arang batu dan bahan api tradisional dari segi kecekapan, skalabiliti dan impak ekologi,” jelasnya.

HTG ialah gabungan hibrid antara rumput Napier dan Pearl Millet yang ditanam secara besar-besaran di ladang di Bintulu, tanpa menjejaskan tanah pertanian makanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE, Robert Hardin, berkata pelantikan ini selari dengan inisiatif negeri memanfaatkan sumber biojisim ke arah nyahkarbon menjelang 2050.

“Rumput tropika hibrid daripada RAW tidak bersaing dengan sumber makanan dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG 15).

“Ia juga akan diperkenalkan kepada komuniti luar bandar secara berfasa,” katanya.

SEDC Energy merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), manakala HTG pertama kali diperkenalkan oleh RAW Energy pada 2014.

Kerjasama ini turut disifatkan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi pusingan (circular economy), dengan memanfaatkan hasil pertanian kepada komoditi tenaga bernilai, selain memperkukuh ketahanan ekonomi dan alam sekitar negeri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan