ISTANBUL, 20 Jun: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Khamis mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai maklumat yang menunjukkan tapak reaktor penyelidikan air berat Khondab di Iran telah terkena serangan, namun tiada risiko radiologi dilaporkan kerana kemudahan itu belum lagi beroperasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“IAEA mempunyai maklumat bahawa reaktor penyelidikan air berat Khondab (dahulunya Arak) yang sedang dalam pembinaan telah terkena serangan. Ia masih belum beroperasi dan tidak mengandungi bahan nuklear, jadi tiada kesan radiologi,” kata agensi itu menerusi hantaran di platform X.
IAEA terus memantau rapat perkembangan susulan laporan serangan ke atas tapak berkaitan nuklear di Iran dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Iran bagi menilai sebarang kesan terhadap keselamatan nuklear.
Iran setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kenyataan IAEA. Kemudahan Khondab, yang sebelum ini dikenali sebagai Arak, merupakan antara tapak yang tertakluk kepada pemantauan antarabangsa di bawah perjanjian nuklear terdahulu.-TVS