MIRI, 20 Jun: Bandar raya Miri bakal menjadi pusat utama sambutan Hari Sarawak 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari dari 20 hingga 22 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemilihan Miri sebagai lokasi sambutan menjadikan perayaan tahun ini lebih bermakna dan inklusif dengan penglibatan aktif rakyat menerusi pelbagai program komuniti.
“Tahun ini, Miri dipilih sebagai pusat perayaan. Saya turut diberi tanggungjawab sebagai menteri penyelaras bersama enam timbalan menteri dalam jawatankuasa induk sambutan ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Miri, hari ini.
Antara acara menarik yang dijadualkan termasuk karnival jualan dan program Sarawak Talent bermula 20 Julai di Stadium Bandaraya Miri dengan kerjasama TV Sarawak (TVS) yang akan menyediakan pentas persembahan bagi pertandingan nyanyian dan bakat tempatan.
Turut diadakan pada pagi 20 Julai ialah program zumba di Stadium Tertutup Miri sebagai inisiatif gaya hidup sihat diikuti majlis kesyukuran pelbagai agama pada sebelah malam di Hotel Meritz sebagai simbol perpaduan rakyat.
Pada 21 Julai, majlis kesyukuran Islam akan berlangsung di Masjid At-Taqwa Miri sebagai pengisian rohani menjelang kemuncak sambutan.
Kemuncak sambutan pada 22 Julai akan dimulakan dengan acara Unity Walk dari Stadium Bandaraya Miri yang dijangka disertai lebih 5,000 peserta.
Pada hari sama, satu sesi townhall bersama rakyat akan diadakan di Hotel Imperial Miri sebagai platform menyuarakan pandangan dan aspirasi kepada kerajaan.
Malam kemuncak akan menyaksikan Perhimpunan Hari Sarawak di Stadium Bandaraya Miri.
“Kita mahu semua rakyat Sarawak ambil bahagian. Ini hari kita. Tarikh 22 Julai amat signifikan kerana pada 1963, Sarawak memperoleh kuasa pemerintahan sendiri dan Kabinet Negeri ditubuhkan,” jelas Kim Shin.-TVS