BINTULU, 20 Jun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang masih hilang di hutan berhampiran Rumah Panjang Puyu, Sebauh, memasuki hari kelima hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Rudy Ranggau, 36, dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 5 pagi Sabtu lalu untuk mencari katak di kawasan Sungai Asau dan Sungai Puyu, terletak di belakang rumah panjangnya.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang, 15 Jun lalu. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu tiba di lokasi pada jam 4.34 petang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan dua anggota dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Setakat ini, tiada petunjuk baharu dikesan. – TVS