KUCHING, 20 Jun: Galeri Warisan Melanau Oya dijangka tampil lebih interaktif menerusi pembinaan fasa ketiga yang kini berada di peringkat akhir reka bentuk dan menunggu kelulusan Jawatankuasa Reka Bentuk Bangunan Negeri (SBDC).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, fasa baharu itu menyasarkan penghayatan budaya lebih mendalam dengan penglibatan langsung pengunjung dalam aktiviti seperti tarian tradisional, penyediaan makanan warisan serta amalan perubatan dan upacara budaya seperti Kaul.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh pelestarian budaya Melanau malah mampu menambah nilai kepada sektor pelancongan luar bandar khususnya di Mukah,” katanya selepas menyampaikan geran operasi berjumlah RM193,600 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Galeri tersebut menerima 6,432 pelawat sejak dibuka termasuk pelawat antarabangsa dengan fasa pertama dan kedua yang siap dua tahun lalu menjadi tumpuan utama untuk mengenali adat, tradisi dan tokoh Melanau.
Fatimah yang juga ADUN Dalat turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan terhadap projek berkenaan.
“Galeri ini adalah inisiatif rakyat dan dengan sokongan Kerajaan Sarawak, ia terus menjadi platform penting memelihara warisan Melanau,” ujarnya.-TVS