MIRI, 20 Jun – Pembukaan rasmi Eastwood Resort dan padang golf 36 lubang bertaraf antarabangsa di Miri menandakan satu pencapaian besar dalam sektor pelancongan sukan Sarawak selain menjadi pemangkin kepada pembangunan strategik wilayah utara Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaburan berjumlah RM250 juta oleh pemaju Woodman Group bukan sahaja membina padang golf kelas dunia malah mendorong transformasi ekonomi dan sosial Miri secara menyeluruh.
“Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar peluasan padang golf atau pembukaan resort tetapi simbol visi jauh dan komitmen komuniti kita terhadap pembangunan masa depan,” katanya semasa majlis prapelancaran Eastwood Resort, hari ini.
Eastwood kini menampilkan dua padang golf unik dinamakan Mulu Course dan Niah Course sempena tapak warisan dunia UNESCO di Sarawak, menjadikannya satu-satunya padang golf 36 lubang bertaraf antarabangsa di wilayah ini selain antara 10 terbaik di Malaysia.
Kim Shin berkata, kemudahan lengkap yang ditawarkan mampu menarik minat pemain tempatan dan antarabangsa termasuk dari Korea Selatan sekali gus membuka peluang kepada pelancongan jangka panjang.
“Saya cadangkan penubuhan Akademi Golf Eastwood bagi menarik pelancong seperti dari Korea untuk tinggal sebulan, bermain dan belajar golf di sini,” ujarnya.
Menurutnya, projek tersebut memperkukuh potensi Miri sebagai hab pelancongan, pelaburan, pendidikan dan kesihatan di zon utara Sarawak disokong kestabilan politik dan dasar kerajaan yang pro pembangunan.
“Kita mahu Sarawak menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan peluang pekerjaan yang luas dan kemudahan bertaraf antarabangsa. Eastwood ini hanyalah permulaan kepada masa depan lebih cemerlang buat Miri,” jelasnya.
Eastwood Resort dijangka menjadi pemacu utama sektor pelancongan sukan dan ekopelancongan di Sarawak sejajar dengan aspirasi menjadikan Miri sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.-TVS