KUCHING, 20 Jun: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan mengadakan sidang khas pada 7 Julai ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka membentangkan sesuatu pada sidang berkenaan namun butiran lanjut belum didedahkan.
“Selebihnya, anda perlu tanya Abang Johari kerana beliau yang akan membentangkan sesuatu. Kita hanya dimaklumkan bahawa Sidang Khas DUN akan diadakan pada 7 Julai ini,” katanya.
Dr. Sim berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPP, MPKS, MDS dan URBANICE Malaysia bagi penyediaan Laporan SDGs Voluntary Local Review (VLR), di sini hari ini.
Terdahulu, media menerima notis rasmi sidang khas bertarikh 7 Julai yang dihantar kepada semua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Notis itu yang ditandatangani Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menyatakan sidang akan bermula jam 9.00 pagi selaras dengan Peraturan Mesyuarat 8(3), Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak.-TVS