DEBAK, 20 Jun: Bangunan bekas Pejabat dan Perpustakaan Majlis Daerah Betong (MDB) di Debak bakal dihidupkan semula dengan fungsi baharu setelah peruntukan berjumlah RM400,000 diluluskan bagi kerja-kerja baik pulih.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, ia akan dikembalikan kepada peranan asalnya sebagai perpustakaan daerah dan dinaik taraf sebagai Pusat Digital Komuniti Daerah Debak.
“Perpustakaan ini akan kita naik taraf dengan kemudahan digital dan berfungsi sebagai pusat rujukan teknologi maklumat untuk komuniti setempat. Kita berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan demi manfaat rakyat khususnya di Debak dan Saribas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simbolik Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Solar di Dewan Millennia Debak, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Razi turut memaklumkan projek pemasangan 841 unit lampu jalan solar di 33 lokasi dalam kawasan DUN Saribas akan bermula hujung September ini dengan kos RM5 juta yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Beliau turut menyeru agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bersama penduduk setempat memelihara kemudahan awam disediakan.
“Saya tidak mahu melihat kemudahan yang disediakan musnah akibat vandalisme atau kecurian seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri, Setiausaha MDB, Lister Clement Guwie dan Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Muhammad Ibrahim.-TVS