KUCHING, 20 Jun: AmBank tampil sebagai penaja utama Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya tahun ini.
Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid berkata, ini merupakan kali pertama AmBank bekerjasama secara langsung dengan penganjur festival berprestij tersebut.
“Tahun ini kami meraikan ulang tahun ke-50 dan mahu menyambutnya bersama rakyat khususnya di Sarawak yang menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami. Ia selari dengan komitmen kami menyokong pembangunan negeri ini,” katanya pada sidang media RWMF di sini, hari ini.
Sebagai bank rasmi RWMF 2025, AmBank memperkenalkan pelbagai inisiatif sepanjang festival tiga hari itu termasuk promosi eksklusif dan aktiviti interaktif di reruai khas mereka di tapak acara.
Mengulas mengenai impak RWMF sejak diperkenalkan pada 1998, Shazman menyifatkannya sebagai platform luar biasa yang terus menarik pengunjung dari seluruh dunia.
“Festival ini berkembang setiap tahun dan menjadi medan penting yang menyatukan budaya, komuniti dan muzik. Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripadanya,” ujarnya.
Festival edisi ke-28 itu berlangsung dari 20 hingga 22 Jun di Kampung Budaya Sarawak menghimpunkan ratusan pemuzik serta pengunjung tempatan dan antarabangsa.-TVS