Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hantaran Menteri Luar Belgium Maxime Prevot di platform X

9 negara EU desak Suruhanjaya Eropah kaji perdagangan libatkan penempatan Israel

ByBernama

BRUSSELS, 20 Jun: Sembilan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) telah menggesa Suruhanjaya Eropah supaya meneliti sama ada perdagangan melibatkan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), gesaan bersama itu diumumkan oleh Menteri Luar Belgium Maxime Prevot menerusi satu hantaran di platform X. Negara yang menyokong inisiatif ini ialah Belgium, Finland, Ireland, Luxembourg, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.

Prevot menyatakan bahawa permintaan itu selaras dengan pendapat nasihat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024. Pendapat ICJ itu menegaskan bahawa pihak antarabangsa mesti mengelakkan sebarang penglibatan dalam perdagangan yang menyumbang kepada kesinambungan situasi tidak sah akibat aktiviti penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Beliau menekankan bahawa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa adalah tanggungjawab bersama semua negara, dan kejelasan undang-undang perlu menjadi panduan dalam membuat keputusan politik dalam sistem antarabangsa berteraskan peraturan.

Dalam satu hantaran susulan, Prevot menjelaskan bahawa kumpulan sembilan negara itu meminta Suruhanjaya Eropah mengkaji bagaimana dasar EU, khususnya yang melibatkan perdagangan berkaitan penempatan Israel, boleh diselaraskan dengan lebih rapi kepada piawaian undang-undang antarabangsa.

Pendapat nasihat ICJ 2024 turut merumuskan bahawa Israel mesti menamatkan penjajahannya dan berundur dari wilayah Palestin yang diduduki secepat mungkin. Mahkamah itu juga menggesa agar perluasan penempatan dihentikan serta-merta dan penyingkiran semua peneroka dari wilayah yang diduduki.

Selain itu, ICJ turut menegaskan bahawa semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai obligasi untuk tidak mengiktiraf situasi yang timbul daripada kehadiran berterusan Israel di wilayah yang diduduki dan tidak membantu atau menyokong usaha mengekalkan keadaan itu.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan