MIRI, 20 Jun: Seramai 23 individu warga asing ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Miri, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, operasi yang melibatkan Ops Sapu, Ops Selera, Ops Mahir, Ops Minyak dan Ops Belanja itu dilaksanakan di 11 lokasi berasingan sekitar Bandar raya Miri.
“Sebanyak 53 individu diperiksa dalam operasi ini dan daripada jumlah itu 23 warga asing berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen,” jelas kenyataan itu.
Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak Imigresen dalam membanteras kegiatan pelanggaran undang-undang melibatkan warga asing.
JIM Sarawak turut mengingatkan orang ramai, khususnya majikan dan pemilik premis supaya tidak menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan warga asing tanpa dokumen atau yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersubahat,” jelas JIM Sarawak.
Masyarakat diseru untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.-TVS