Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh

Tanah perkuburan Islam baharu dibangunkan di Bukit Penyauk

SRI AMAN, 19 Jun: Isu kekurangan ruang pengebumian bagi masyarakat Islam di Sri Aman dijangka diselesaikan menerusi pembangunan tanah perkuburan Islam bersepadu di Bukit Penyauk dalam masa terdekat.

Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, projek seluas 19.5 hektar itu merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman dengan anggaran kos RM1.38 juta.

“Keperluan mendesak ini bakal kita atasi melalui pembinaan tanah perkuburan bersepadu yang bukan sahaja menyelesaikan isu semasa malah berfungsi sebagai penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam kenyataan kepada TVS hari ini.

Menurutnya, tiga tanah perkuburan Islam utama di kawasan Kampung Hilir, Kampung Tengah dan Kampung Hulu kini digunakan lebih 90 hingga 98 peratus, menjadikan pembinaan tapak baharu sebagai satu keperluan mendesak.

“Projek ini penting bagi memastikan umat Islam di daerah ini mempunyai tempat pengebumian mencukupi, selesa dan teratur sejajar dengan tuntutan agama,” ujarnya.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan kerja-kerja perataan tanah, pembinaan sistem saliran, jalan akses berbatu serta dua unit pembentung.

“Pelaksanaan utama dijangka bermula tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta. Selain mengatasi isu kapasiti, projek ini juga dijangka merangsang pembangunan infrastruktur asas di kawasan sekitar yang sebelum ini kurang berpenghuni akibat kekurangan kemudahan seperti bekalan air dan elektrik.

“Tanah perkuburan ini akan direka secara moden dan bersepadu, mematuhi garis panduan syariah serta mengaplikasikan sistem pengurusan berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) seperti sistem e-Cemetery di Semariang, Kuching.

“Sistem ini membolehkan waris mengesan lokasi kubur dengan mudah dan meningkatkan kecekapan pentadbiran serta ketelusan,” jelasnya.

Mahra berkata, inisiatif tersebut memberi jaminan urusan pengebumian umat Islam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, bermaruah dan berlandaskan syariah.

“Ia adalah sebahagian daripada agenda pembangunan sosial SADA yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian komuniti selaras dengan visi Premier Sarawak dalam membina negeri yang makmur dari segi fizikal dan rohani,” kata Mahra.

Terdahulu, Mahra turut merasmikan Program JIWA@Komuniti Madani Gotong-Royong di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Safariza Bujang, Pegawai Pendidikan Daerah Abdul Rahman Muhyiddin, Pengerusi Komuniti Madani Kampung Hulu Lemanak Alfeyan Abu Bakar dan Pengurus GIATMARA Sri Aman, Abdul Manan Abdul Latip.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan