SERIAN, 19 Jun: Pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bermula 1 Julai ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Sarawak khususnya kesan terhadap harga rumah dan sektor pembinaan.
Rata-rata berpendapat kos bahan binaan yang sedia ada tinggi akan terus melonjak apabila SST dilaksanakan sekali gus menjadikan harga hartanah semakin tidak mampu milik terutamanya bagi golongan muda dan berpendapatan rendah.
Bagi pekerja swasta, Evester Evis Stephen, 26, pelaksanaan SST hanya akan menambah beban kepada mereka yang baru mula bekerja dan berhasrat membeli rumah pertama.
“Bagi generasi muda seperti saya, dengan pendapatan yang tidak terlalu tinggi dan harga rumah yang sedia mahal, ditambah lagi SST, ia memang membebankan. Kemungkinan besar harga rumah akan naik lagi.
“Kami yang muda ini akan semakin sukar memiliki rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar Yusup, 39, turut menyuarakan kebimbangan yang sama dan berharap kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan SST terhadap sektor pembinaan.
“Diharapkan kerajaan dapat meneliti keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu. Bukannya menambah beban rakyat sebaliknya membantu menurunkan harga rumah.
“SST ke atas sektor pembinaan akan memburukkan lagi keadaan,” ujarnya.
Bagi Abdullah Jawawi, 49, golongan muda yang bercadang membeli rumah dinasihatkan agar bijak merancang perbelanjaan dan mengutamakan keperluan.
“Anak muda perlu jelas dengan keutamaan. Sama ada nak beli rumah atau kereta, kena nilai yang mana lebih penting dahulu. Kedua-duanya penting, tetapi perlu bijak membuat keputusan.
“Saya percaya kepimpinan negeri tidak akan berdiam diri. Mereka pasti prihatin dan akan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini, demi rakyat Sarawak,” jelasnya.
Untuk rekod, Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar CJ dan peluasan skop CP bermula 1 Julai 2025 sebagai langkah meningkatkan hasil negara melalui perluasan asas percukaian di samping memperkukuh jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan majoriti rakyat.
Antara butiran pelaksanaan termasuk kadar CJ kekal untuk barangan keperluan asas rakyat, CJ lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas serta skop CP diperluas merangkumi perkhidmatan seperti pembinaan, sewaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan kecantikan.
Namun begitu, pengecualian terpilih turut diperkenalkan bagi mengelakkan cukai berganda dan memastikan perkhidmatan penting kepada warganegara tidak dikenakan cukai.-TVS