Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan Sarjit Singh ketika memberi arahan kepada pemain kendaliannya selepas tewas kepada pasukan New Zealand pada perlawanan peringkat kumpulan B Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil. Foto Bernama

Sarjit tuntut Speedy Tigers tingkat kecergasan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Sarjit Singh mengakui tahap kecergasan anak buahnya masih jauh daripada piawaian yang diperlukan jika dibandingkan dengan pasukan Asia seperti Korea Selatan, Jepun, dan China.

Meskipun persembahan Speedy Tigers dilihat semakin baik daripada satu perlawanan ke perlawanan, Sarjit menegaskan pasukannya masih berada dalam fasa ‘perjalanan yang jauh’ untuk mencapai tahap terbaik.

“Saya yakin pasukan kita akan berada di landasan yang betul. Seperti yang saya katakan, kita memerlukan pengalaman. Pengalaman sangat penting. Apabila mereka terus bermain dan menyertai lebih banyak perlawanan, kita akan menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Harapan skuad hoki lelaki negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2024-2025 terkubur meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun.

Ditanya bilakah pasukan menyedari masih terdapat kekurangan dari segi kecergasan pemain, Sarjit menjelaskan perkara itu sudah dikenal pasti sejak awal dan sebab itu skuad bimbingannya berkelana ke Korea Selatan sebelum ini untuk menimba ilmu.

Beliau berkata fokusnya kini beralih kepada memastikan anak buahnya menamatkan kempen kali ini di kedudukan kelima dan berharap penyokong terus memberikan sokongan padu.

“Sebab itu saya kumpul semula para pemain secepat mungkin kerana mahu mereka kembali fokus. Fokus untuk perlawanan kelima. Kita perlu pastikan kedudukan di tempat kelima.

“Afrika Selatan akan menjadi pasukan lawan yang sukar, tetapi kita perlu tewaskan mereka. Melihat cara mereka bermain … tidak mustahil kita boleh tundukkan Afrika Selatan.

Sementara itu, pemain pertahanan Syed Mohd Syafiq Syed Cholan mahu skuad Speedy Tigers mengalihkan tumpuan kepada misi untuk mengukuhkan ranking pasukan yang jatuh dua anak tangga dan kini menghuni ranking ke-15 dunia.

“Kita nak ranking berada di top 11, 12. Kita tak mahu kedudukan menurun.

“Sekarang, target separuh akhir sudah terkubur, kini kita fokus kepada ranking. Kita tahu Afrika Selatan berada di ranking lebih baik daripada kita. Jadi, kita perlu menang untuk mengutip mata,” katanya.

Malaysia akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan dan dijadual menentang Afrika Selatan pada Jumaat ini, berbekalkan misi memperbaiki pencapaian edisi 2023/2024 di Poland yang sekadar di tempat ketujuh pada penamat saingan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan