KUALA LUMPUR, 19 Jun: Rundingan antara kerajaan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 24 peratus yang dikenakan oleh negara itu kepada Malaysia disifatkan berjalan lancar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan mengenai rundingan itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang kini berada di Washington DC bagi mengetuai rundingan tersebut.
“Pagi ini saya menerima mesej daripada mereka bahawa mesyuarat dengan Setiausaha Perdagangan dan wakil-wakil Amerika Syarikat berjalan dengan sangat baik.
“Kita sentiasa menekankan keperluan untuk memastikan Malaysia mendapat layanan yang adil, dan pada masa yang sama, kita juga membawa suara ASEAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa negara anggota ASEAN untuk melakukan perkara yang sama dengan menyatakan pendirian secara dua hala.
Pada masa sama, Anwar berkata, pemimpin negara anggota perlu menekankan pentingnya ASEAN kekal sebagai satu blok yang kukuh dan berkesan.
“Pengenaan tarif secara unilateral oleh AS sememangnya menjadi cabaran besar kepada negara kita dan juga rantau ini, memandangkan kita sangat bergantung kepada rantaian bekalan global,” ujarnya.
Rundingan itu berlangsung selepas tarif dikenakan ke atas eksport Malaysia dengan kerajaan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak wajar.
Dalam pada itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Anwar berkata Malaysia sedang giat berusaha ke arah menaik taraf perjanjian perdagangan sedia ada dengan negara anggota ASEAN dan rakan dialog bagi memperkukuh komitmennya terhadap ekonomi serantau yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.
Anwar menjelaskan, ASEAN telah membina asas kukuh dengan bergerak melintasi pelbagai pertikaian dan krisis, sama ada isu kedaulatan dan sempadan, penularan pandemik, atau bencana iklim.
“ASEAN menjadi tunjang kepada integrasi ekonomi melalui inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, dan pada masa depan, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital. Kita akan terus berpegang pada prinsip-prinsip asas ASEAN dan potensi jangka panjangnya,” ujarnya. – TVS