SARATOK, 19 Jun: Regata Kalaka bakal berlangsung dari 11 hingga 13 Julai dengan jumlah hadiah keseluruhan mencecah RM120,505 untuk peserta sukan air dari seluruh wilayah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, antara ganjaran utama ialah hadiah wang tunai RM15,000 bagi pemenang gelaran Raja Sungai selain RM5,000 untuk juara Maraton Sakai 30 dan RM1,500 bagi Raja Pecut.
“Sebanyak RM120,505 diperuntukkan untuk perlumbaan perahu tahun ini termasuk hadiah utama dan kategori lain yang dipertandingkan,” katanya kepada TVS selepas mesyuarat Jawatankuasa Pesta Saratok 2025.
Antara kategori perlumbaan yang akan berlangsung termasuk kayuhan Bidar 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh, acara pecut mengikut bilangan pekayuh yang sama, perlumbaan maraton (30 pekayuh), lumba enjin sangkut lima kuasa kuda (5HP) serta pertandingan perahu berhias.
Majlis Penangguhan Regata Kalaka yang bertemakan Muafakat Membawa Berkat dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 13 Julai nanti.
Sebanyak 21 program dan aktiviti dirancang bagi memeriahkan Pesta Saratok dan Regata Kalaka 2025 yang turut tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.
Terdahulu, Mohamad Duri menghadiri Mesyuarat Kali ke-3 Jawatankuasa Pesta Saratok 2025 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok.
Tarikh tutup penyertaan bagi semua acara sukan air adalah pada 3 Julai 2025.-TVS