GEORGE TOWN, 19 Jun: Pulau Pinang yang telah diiktiraf sebagai hub semikonduktor dunia oleh Forum Ekonomi Dunia, kini berdepan kekangan buruh apabila dikatakan mengalami kekurangan kira-kira 60,000 jurutera dan juruteknik.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, hal itu dilihat sebagai cabaran besar yang harus ditangani segera dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi mengisi kekosongan dalam sektor yang sedang pesat berkembang itu.
Ujarnya, berdasarkan pertemuan sebelum ini, beliau mendengar keluhan tersebut daripada majikan dan syarikat baharu di Zon Pedagangan Bebas negeri ini berhubung isu berkenaan.
“Ini adalah masalah sebenar apabila syarikat dan pelaburan masuk, tetapi pekerja mahir tidak cukup,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 Wilayah Utara di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Bagi wilayah Utara, NTW 2025 mendapat lebih 167,000 penyertaan dengan hampir 800 kursus yang ditawarkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Menurut Steven, acara NTW 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun lalu itu telah berjaya merekodkan penyertaan 3.2 juta peserta di seluruh negara berbanding sasaran awal hanya 1 juta peserta.
“Penganjuran acara ini merupakan salah satu cabang usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dengan membudayakan penglibatan dalam latihan kemahiran.
“Latihan kemahiran jangka pendek seperti ini apabila kita buat survey mendapati, 37 peratus syarikat-syarikat Malaysia menerima dan mengiktirafnya sebagai faktor untuk mengambil pekerja dan kenaikan jawatan,” katanya lagi. -TVS.