Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Junady Nawawi (tengah) ketika melawat Smart Farming Facility Madu Kelulut di Kampung Bakong, Oya, hari ini. Foto TVS

Projek kelulut pintar pacu ekonomi Kampung Bakong

OYA, 19 Jun: Projek pertanian pintar madu kelulut yang diperkenalkan di Kampung Bakong, di sini, membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi luar bandar menerusi penggunaan teknologi moden, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk dan daya saing komuniti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Junady Nawawi, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program Innovation for Community (INNO4C) 2.0 yang dilaksanakan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) sejak 2022.

“Projek yang kini memasuki tahun ketiga telah mula menunjukkan impak yang signifikan dalam memperkasakan komuniti luar bandar.

“Kami bersama rakan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan kaedah dan teknologi baharu berasaskan data dan kajian.

“Ini bertujuan menstrukturkan usaha komuniti setempat agar lebih mampan serta memberi impak berpanjangan, termasuk untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Smart Farming Facility Madu Kelulut di Kampung Bakong, hari ini.

Junady berkata, TERAJU turut menyasarkan peluasan projek seumpama itu ke kawasan luar bandar lain bergantung kepada sumber pembiayaan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Setiap projek INNO4C dianggarkan menelan belanja sekitar RM3 hingga RM4 juta.

“Jadi dengan bajet ini ia telah digunakan juga bagi projek ini merangkumi pembinaan fasiliti seperti tapak ternakan kelulut, pusat pemprosesan dan sarang moden,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr Azlan Amran, berkata pihaknya mengadaptasi hasil penyelidikan dalaman bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti madu kelulut.

“Kami sesuaikan sumber kajian USM dengan konteks di negeri Sarawak dan membangunkannya secara sistematik. Ini membolehkan madu kelulut dijual pada harga lebih tinggi dan mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kolaborasi strategik dengan TERAJU dalam projek itu sebagai antara usaha perintis yang berjaya.

Produk madu kelulut daripada projek INNO4C sebelum ini berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi dan China menerusi program Sustainable Marketing for Community (SMART) yang turut dikendalikan USM di bawah DPUB.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan