KUCHING, 19 Jun: Golongan yang terlibat dalam sektor agro di Sarawak disaran menjadikan bidang tersebut sebagai satu bentuk perniagaan dan tidak lagi sekadar sektor sara diri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sudah tiba masanya petani mengubah cara berfikir dan mengangkat sektor pertanian ke tahap lebih tinggi berorientasikan keuntungan.
“Sejak penubuhan Jabatan Pertanian Sarawak pada 1924 hingga kini, kaedah pengurusan penanaman masih tidak banyak berubah.
“Jika mereka benar-benar memanfaatkan peluang yang ada, sudah ramai petani menjadi jutawan dan kita mungkin melahirkan satu komuniti jutawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Amanat Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah bersama Jabatan Pertanian Sarawak 2025 di Kuching, malam tadi.
Menurutnya, sektor agro memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
“Oleh itu, petani digesa meningkatkan pengetahuan dan mengadaptasi teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan tanaman,” ujarnya.
Beliau turut menggesa petani lebih berani memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna sebagai langkah memperkukuh ekonomi komuniti agro.
Turut hadir Penasihat di Pejabat Premier Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta Timbalan Menteri (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben.-TVS