Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rangka pesawat Air India terhempas di Ahmedabad yang mengorbankan 241 nyawa. Foto fail AFP

Pesawat Air India disahkan diselenggara dengan baik sebelum terhempas

ByAFP

NEW DELHI (INDIA), 19 Jun: Pesawat Boeing milik Air India disahkan dalam keadaan diselenggara dengan baik sebelum nahas yang mengorbankan semua kecuali seorang daripada 242 orang di dalam pesawat itu, kata syarikat penerbangan berkenaan, hari ini.

Pihak berkuasa India belum mengumumkan punca pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas di Ahmedabad, sebuah bandar di bahagian barat negara itu, yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 38 kematian di darat.

Sementara pasukan penyiasat masih berusaha mendapatkan semula data daripada kotak hitam pesawat, perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan, Air India memaklumkan bahawa tiada sebarang masalah dikesan pada pesawat sebelum kejadian.

“Pesawat berkenaan diselenggara dengan baik, dengan pemeriksaan utama terakhir dilakukan pada Jun 2023,” kata Air India dalam kenyataan.

“Enjin kanan pesawat telah melalui kerja baik pulih pada Mac 2025, manakala enjin kiri diperiksa pada April 2025. Kedua-dua enjin dan pesawat dipantau secara berkala, dan tiada isu dikesan sebelum penerbangan,” katanya lagi.

Pesawat yang dalam perjalanan ke London itu meletup menjadi bebola api apabila terhempas ke kawasan perumahan di Ahmedabad sejurus selepas berlepas.

Pemeriksaan awal ke atas pesawat Dreamliner Air India sejak insiden itu tidak menemui sebarang kebimbangan keselamatan utama, menurut pihak berkuasa penerbangan awam India pada Selasa lalu.

Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan sedang berjalan lancar.

“Kerja pemulihan utama termasuk dokumentasi lokasi dan pengumpulan bukti telah selesai, dan analisis lanjut kini sedang dijalankan,” katanya.

Menurut Air India, pesawat berkenaan membawa 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada, selain 12 kru penerbangan.

Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan bahawa juruterbang pesawat merupakan anggota berpengalaman.

“Penerbangan diketuai Kapten Sumeet Sabharwal, juruterbang kanan dan jurulatih berpengalaman dengan lebih 10,000 jam penerbangan bagi pesawat badan lebar,” katanya.

“Pegawai Pertama Clive Kunder pula memiliki lebih 3,400 jam pengalaman penerbangan.”

Sementara pasukan penyiasat terus berusaha mengenal pasti punca kejadian, keluarga mangsa masih menunggu pengesahan identiti orang tersayang mereka.

Setakat hari ini, seramai 210 mangsa telah dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA), menurut Menteri Kesihatan negeri Gujarat, Rushikesh Patel.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan