BUKIT MERTAJAM, 19 Jun: Seorang wanita yang bekerja sebagai pereka dalaman berputih mata apabila kerugian wang RM794,000 selepas dipercayai menjadi mengsa penipuan pelaburan tidak wujud baru-baru ini.
Mangsa berusia 47 tahun itu difahamkan mula terjerat selepas melihat iklan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi semasa melayari Facebook pada April lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang tertarik terhadap iklan itu telah berhubung dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat pelaburannya.
Katanya, mangsa telah dijanjikan pulangan sebanyak 100 peratus bagi setiap modal yang dilaburkan dalam masa singkat.
“Dia telah memuat turun aplikasi bernama CSECDT untuk mendaftar keahlian dan memulakan pelaburan.
“Wanita itu turut melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat yang berbeza sejak 11 April hingga 3 Jun lalu berjumlah RM794,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hamzah, mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu semasa mahu membuat pengeluaran keuntungan sebanyak RM2 juta apabila diminta membuat pembayaran cukai pengeluaran sebanyak RM200,000 terlebih dahulu.
Katanya, wanita itu kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada Isnin lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS