KUALA LUMPUR, 19 Jun: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti rekod kewangan milik 57 premis yang diserbu dalam Op Hazard 2.0 sejak 16 Jun lepas bagi membanteras aktiviti pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Datuk Hisham Rusli berkata siasatan setakat ini menunjukkan kilang-kilang pemprosesan haram itu telah mengelak cukai secara kolektif berjumlah lebih RM500 juta.
“Berdasarkan maklumat, terdapat kalangan premis berkenaan yang dikendalikan oleh pemilik sama dan kita sedang siasat ke arah itu,” katanya pada sidang media bersama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim di Bukit Aman di sini hari ini.
Hisham berkata daripada sudut percukaian, kilang haram lazimnya mungkin tidak akan melaporkan pendapatan atau melaporkan pendapatan tetapi dengan jumlah yang kurang daripada angka sebenar.
“Semua perkara ini akan diperhalusi sebab kita dapati semua barangan (produk pemprosesan) e-waste ini akan dieksport semula pada harga berlipat kali ganda,” katanya.
Sebanyak 57 premis memproses e-waste yang beroperasi secara haram di seluruh negara diserbu dalam Op Hazard 2.0 sejak tiga hari lepas, melibatkan rampasan yang dianggarkan bernilai RM500 juta.
Pecahan rampasan adalah e-waste sebanyak RM240 juta, komponen e-waste (RM182 juta), barang lusuh (RM50 juta), lain-lain kesalahan RM32 juta dan nilai siasatan berkaitan cukai LHDN adalah RM500 juta.-TVS